05 March 2009

Dua Lagi Pasar Tani Mega Diwujudkan Di Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membuka dua lagi pasar tani meganya di bandaraya ini iaitu di Bandar Tasik Selatan yang beroperasi setiap hari Selasa mulai esok dan di Gombak Setia pada Khamis ini.

Pasar tani akan beroperasi dari pukul 4 petang hingga 10 malam, katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.

Katanya pembukaan pasar tani ini adalah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyediakan tapak perniagaan.

Jumlah pasar tani mega di Wilayah Persekutuan kini bertambah menjadi tujuh dengan pembukaan dua pasar tani itu. Pasar tani mega yang lain adalah Putrajaya, Bukit Angkasa, Setiawangsa, Segambut dan Danau Kota.

Pembukaan pasar tani itu juga telah menambah jumlah peserta sebanyak 279 orang dengan menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 725 orang.

Di peringkat nasional, dengan wujudnya dua buah pasar tani ini jumlah keseluruhan pasar tani mega adalah sebanyak 51 buah, dan merancang sebanyak 150 buah pasar tani mega akan dibuka menjelang 2010, katanya.

-- BERNAMA

Info : Pada 6/3/2009 Pasar Tani baru akan dibuka di Pekan Lubok Cina Melaka.Bagi kengkawan yang nak joint or nak tinjau pasaran kat sana bolehlah pi survey..Pasat Tani nie beroperasi bermula jam 4.00 pm hingga 10.00 pm..INFO LANJUT CALL 06-2312760 (FAMA OFFICE) - UNIT PASAR TANI

Sayur-sayuran, Buah-buahan Akan Dilabel Dan Digred


KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Pengguna bakal menikmati sayur-sayuran dan buah-buahan yang berbaloi dengan harga dibayar apabila peraturan melabel dan menggredkan barangan berkenaan mengikut piawaian antarabangsa dikuatkuasakan.

Dalam masa terdekat, para pemborong, pengeluar dan pengimport akan diwajibkan untuk membungkus, melabel dan menggred sayur-sayuran serta buah-buahan keluaran mereka mengikut piawaian antarabangsa.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata walaupun peraturan itu akan berkuatkuasa serta merta, ia bagaimanapun hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada hujung tahun.

Ini, katanya akan memberikan cukup masa dan notis diberikan kepada mereka yang terbabit untuk mematuhi peraturan baru berkenaan.

Bercakap kepada Bernama di luar acara rasmi Mesyuarat Menteri-menteri Kumpulan Lapan Negara Membangun Islam (D8) Mengenai Jaminan Makanan di sini, Mohamed Shariff berkata label yang saiznya tidak kurang daripada 11sm x 7sm akan mengandungi maklumat seperti nama dan alamat pengimport, pengeksport, agen, pengeluar atau pengedar.

Label itu sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris juga perlu memaparkan dengan jelas nama barangan, gred, saiz, negara asal pengeluar dan berat.

Bagi kesalahan mempamerkan maklumat palsu atau mengelirukan, denda maksimum sebanyak RM1,000 atau penjara pada suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya boleh dikenakan, katanya.

Menerusi peraturan berkenaan, FAMA sebagai pihak berkuasa bertanggungjawab melaksanakan peraturan akan memastikan tiada buah-buahan atau sayur-sayuran yang tidak bermutu diimport ke negara ini dan tiada satu pun di jual di pasar raya-pasar raya atau pasar.

"Kami boleh memberi jaminan dengan yakin pengguna akan memperoleh barangan berkualiti berbaloi dengan nilai wang mereka," kata Mohamed Shariff.

Dalam reaksi spontan mengenai peraturan itu, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna (FOMCA) Malaysia menyambut baik langkah itu kerana ia sudah lama tertangguh.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yusof Abdul Rahman berkata menerusi peraturan itu, para pengguna kini boleh dengan yakin membeli barangan berkualiti.

Mohd Yusof bagaimanapun berharap peraturan baru itu tidak menyebabkan lonjakan harga barangan berkenaan.

"Peraturan itu menghendaki lebel itu menyatakan negara asal pengeluar, dan ini penting bagi pengguna mengelakkan barangan dari negara-negara yang diketahui menggunakan racun perosak berlebihan atau melamin," katanya.

-- BERNAMA