17 September 2008

PUASA : ADAT ATAU IBADAT

SEMPENA bulan Ramadan, telah menjadi kebiasaan kebanyakan masjid dan surau di negeri Pahang turut menganjurkan majlis tazkirah di pertengahan solat tarawih. Dengan mengambil masa 15 minit hingga setengah jam, pelbagai teladan dan pengajaran dapat disampaikan. Yang menarik, pendengarnya adalah terdiri daripada golongan pelbagai peringkat usia - daripada yang tua, remaja hinggalah kanak-kanak.

Itulah rahmat bulan Ramadan. Jika bulan-bulan yang lain, sukar untuk melihat anak-anak muda memenuhi masjid dan surau, Ramadan membuktikan jati diri mereka masih kental.
Pun begitu, sebagai umat Islam, ada beberapa perkara yang kita perlu fahami tentang Ramadan. Ini kerana, untuk menjadi mukmin yang sejati, kita bukan sahaja dituntut melaksanakan segala suruhan-Nya tetapi juga menjauhi perkara-perkara yang dilarang. Hakikatnya, matlamat untuk menjadi mukmin sejati tidak akan tercapai jika kita tidak mampu membezakan antara amalan yang menjadi adat dan amalan yang menjadi ibadat. Menurut Islam, adat itu ada yang baik dan ada pula yang buruk.
Bagi umat Islam, adat dapat menjadi sumber hukum apabila memenuhi tiga perkara iaitu: Pertama, tidak berlawanan dengan dalil al-Quran; kedua, tidak bertentangan dengan dalil al-hadis; dan ketiga, menjadi kebiasaan masyarakat pada umumnya.

Antara perkara kebiasaan atau adat yang boleh menjadi ibadat dan diberi ganjaran pahala jika melakukannya ialah tidur, makan, minum, jual beli dan bekerja mencari rezeki.
Kesemua perbuatan tersebut jika dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah, maka ia dikira ibadat. Malah kegiatan harian kita termasuk bersuci daripada hadas kecil dan besar juga dianggap sebagai ibadat jika disertakan dengan niat. Niat yang dimaksudkan oleh para ahli fikah ada dua bentuk. Pertama, membezakan ibadat daripada adat. Contoh, seseorang yang berpuasa kerana semata-mata ingin menguruskan badan atau sebab perubatan atau tanpa sebab, ia dikira sebagai adat. Sekiranya seseorang berbuat demikian kerana mendekatkan diri dengan Allah, maka perbuatan tersebut dikira ibadat. Begitu juga mereka yang duduk di dalam masjid. Jika hanya berehat, itu dikira sekadar adat tetapi sekiranya beriktikaf, ia adalah ibadat. Maka, umat Islam perlu memahami falsafah puasa supaya selaras dengan al-Quran dan sunah seterusnya mengelakkan ia daripada hanya menjadi adat semata-mata. Antara perkara yang perlu dihindarkan ialah menyempitkan pengertian puasa hanya dengan menahan lapar dan dahaga di siang hari sahaja. Sedangkan mata, lidah, hati dan telinga, tidak ditahan daripada terus melakukan dosa.


Dipetik daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm

No comments: